Model Baharu Tanaman Nanas

>> Monday, February 28, 2011

.:: Abu Hassan Man dengan hasil nanas yang ditanam ::.


Tidak terlintas langsung dalam benak fikiran usahawan Teknologi Maklumat (ICT) ini untuk mengubah haluan kepada bidang pertanian melainkan semata-mata mahu mencuba dan gembira melihat kehijauan bumi yang sentiasa dihargai manusia.

Tiga tahun lalu, Abu Hassan Man, 51, hanya mahu memastikan tanah di sekitar tempat tinggalnya tidak dibiar semak sebaliknya mahu berbuat sesuatu supaya kawasan di Merbok, Kedah bertukar menjadi ladang nanas terbesar.

Percubaannya tidak sia-sia apabila nanas yang diusahakan menghasilkan buah melebihi tiga kilogram sebiji.

Kejayaan itu tidak berakhir di situ sahaja apabila terbaharu bapa kepada enam anak itu sekali lagi mengejutkan industri nanas negara apabila dia berjaya mengusahakan model baru tanaman nanas secara padat.

Sekali pun ada pihak yang secara sinis menganggapnya sebagai satu yang sukar dipercayai kerana konsep tanaman seperti itu tidak pernah diamalkan oleh mana-mana penanam nanas dan kononnya sukar untuk dilakukan.

Projek perintis tanaman nanas secara padat itu telah membuka mata banyak pihak dan memberi petunjuk bahawa teknologi baharu dalam sektor pertanian tidak lagi boleh kaku tanpa pembaharuan.

Di Kampung Bukit Batu Pahat, Merbok sebanyak 12 hektar tanaman nanas secara padat telah dimulakan sekali pun terpaksa berhadapan masalah kawasan tanah hutan dan serangan musuh liar yang sentiasa mengancam tanaman.

Hal yang sama berlaku di Kampung Bendang Dalam, Tempoyak berhampiran Merbok manakala satu kawasan di Tikam Batu dan Bukit Selambau di Sungai Petani serta Sungai Kob dan Lunas di Kulim.

Abu Hassan tidak pernah mengalah untuk mencuba sesuatu yang tidak pernah dilakukan.

''Saya mahu mencuba sesuatu yang baharu kerana mungkin dapat membuat pembaharuan dalam industri nanas di negara ini," katanya dalam pertemuan dengan MEGA baru-baru ini.

Sehingga ini, Abu Hassan telah mengembangkan usaha penanaman nanas di tujuh kawasan dengan keluasan keseluruhan melebihi 70 hektar.

Ini tidak termasuk di kawasan Kulim sebanyak 70 ekar yang sedang dibersihkan.

Menariknya, usaha Abu Hassan dilakukan secara berperingkat-peringkat dalam memastikan pengeluaran buah juga tidak terputus bekalan berikutan pengusaha ini sudah dikenali sebagai saudagar nanas.

''Ada di antara kawasan sedang dibersihkan manakala ada juga yang sedang ditanam sementara yang lain sudah mengeluarkan hasil menunggu masa sahaja untuk dipetik," ujarnya.

Menurut beliau, hebatnya model baharu tanaman nanas kerana sebanyak 82,000 pokok dapat ditanam dalam keluasan sehektar tanah berbanding dengan cara konvensional hanya sebanyak 30,000 pokok sahaja dapat ditanam.

Mengenai tanaman padat, beliau yakin tentu ada penanam nanas akan terfikir bagaimana kepadatan pokok mampu membolehkan kerja-kerja membaja,meracun, dan memetik buahnya dapat dilakukan.

Abu Hassan yang tidak pernah kedekut ilmu itu menjelaskan kesemua proses tersebut dilakukan menggunakan jentera 100 peratus yang berfungsi dengan cepat dan pantas.

Kejayaan tersebut memberi petunjuk baru kepada Jabatan Pertanian dalam memberi suntikan semangat dan meningkatkan imej dalam sektor pertanian.

Jabatan Pertanian yang melihat perkembangan itu telah mengambil langkah bijak dalam membantu Abu Hassan untuk membeli jentera moden dalam menghasilkan produk yang boleh dibanggakan dalam industri nanas negara.

Mega difahamkan jentera tersebut disediakan oleh Jabatan Pertanian sebagai inisiatif kepada petani moden itu menggunakan teknologi terbaru.

Katanya, penggunaan jentera meliputi kerja-kerja membaja, meracun,memberi hormon (ethrel) menguatkan tangkai (planofit) dan menyegarkan buah(fruiton) antara teknologi moden yang digunakan menjadikan ladang nanas ini termoden setakat ini.

Menurutnya, kelebihan jentera moden itu berfungsi dengan hanya 500 liter air atau racun memerlukan masa hanya tujuh minit.

Manakala bagi satu hektar mengambiln masa kira-kira satu jam.

Tanaman secara padat itu tidak memerlukan batas sebaliknya setelah tanah siap di gembur benih boleh terus ditanam sekali gus menjimatkan masa dan kos membajak.

Katanya, tanaman cara itu juga dapat mengurangkan hakisan tanah dan mengelak rumput tumbuh dan mengurangkan beban pengawasan dan kawalan rumput akibat tanaman dilakukan secara padat.

Jelasnya, tanaman konsep itu juga mampu mengelak ancaman binatang buas seperti babi dan kera dari memasuki dan merosakkan tanaman.

Projek yang diusahakan penanam moden itu telah membawa kepada perubahan landskap tanah terbiar.

Ini kerana Abu Hassan sendiri telah mempelawa pemilik tanah untuk memajak kepadanya bagi dijalankan projek tanaman nanas ini.

Anak jati Merbok itu turut menyasarkan untuk membuka kilang sendiri bagi memproses nanas secara komersial sekiranya dia mampu membuka sebanyak 200 hektar ladang nanas di Kedah.

''Buat masa ini saya belum berani untuk membuka kilang kerana pengeluaran buah yang ada hanya mampu dijual kepada peraih dan pemborong tempatan sahaja,'' ujarnya.

Abu Hassan bagaimanapun tidak menolak kemungkinan dalam tempoh setahun dia boleh mengorak langkah dalam memperkemaskan lagi industri itu secara serius kerana potensi yang ada tidak wajar dilepaskan.

Projek di Kampung Bukit Batu Pahat kini mempunyai hampir satu juta pokok nanas pada keluasan yang sedia ada.

Sudah tentu jumlah pokok tersebut mampu meningkatkan pendapatan tiga kali ganda dari tanaman secara konvensional dengan harga sebiji nanas pada harga minimum sebiji untuk RM1 jika ini berlaku tentunya penanam ini mampu meraih hampir sejuta semusim secara kasarnya.

Bagi Abu Hassan kesempatan itu turut digunakan untuk menambah lagi pendapatan melalui jualan benih.

Apa yang diperolehinya sekarang mahu dikongsi bersama pemilik tanah terbiar untuk sama-sama berusaha memajukan tanah dan meraih pendapatan bukan sahaja sampingan malah satu kerjaya berterusan.

Sumber : Utusan Online

0 comments:

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP