Perjumpaan Pengusaha Nanas Negeri Kedah

>> Tuesday, June 7, 2011

Perjumpaan pengusaha-pengusaha nanas negeri Kedah bersama Jabatan Pertanian Negeri serta Exco Pertanian Negeri Kedah; Dato' Ir. Amiruddin Hamzah telah diadakan di bilik seminar Jabatan Pertanian Negeri Kedah pada 4 Jun yang lepas. Perjumpaan ini merupakan julung-julung kali diadakan sejak tanaman nanas secara komersil mula diperkenalkan di negeri ini sejak awal 2009 lagi.

Dato' Ir. Amiruddin Hamzah dalam ucapan perasmiannya menyatakan komitmen kerajaan negeri dalam memajukan sektor pertanian demi merealisasikan hasrat untuk menjadikan Kedah sebagai Belanda Timur (Hub Pengeluaran Makanan Negara). Sementara itu En. Mohamed Bukhori Abdul Rahman selaku Timbalan Pengarah Pertanian Negeri (Pengembangan) dalam taklimat yang disampaikan menyentuh mengenai teknologi semasa nanas dan potensi pengeluaran nanas di negeri ini.

Perjumpaan ini menjadi lebih bermakna apabila para pengusaha nanas yang hadir bersetuju untuk membentuk jawatankuasa penaja sebelum persatuan pengusaha nanas yang sebenar diwujudkan. Hadirin yang hadir telah bersetuju sebulat suara untuk melantik En. Abd. Halim Hamid sebagai pengerusi penaja dengan dibantu oleh En. Abu Hassan Man. Penubuhan persatuan ini diharap dapat mengukuhkan kerjasama antara para pengusaha nanas dan jabatan pertanian serta menyelesaikan setiap masalah yang timbul demi kemaslahatan bersama. Perjumpaan ini juga telah menjadi satu platform kepada pengusaha-pengusaha nanas untuk bertukar-tukar pandangan dan idea bagi meningkatkan produktiviti tanaman masing-masing.

Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada pihak Jabatan Pertanian Negeri Kedah kerana dapat mengatur perjumpaan seperti ini. Diharapkan agar usaha yang dijalankan ini menjadi titik tolak kepada kejayaan perusahaan nanas di negeri Kedah Darul Aman.

.:: Taklimat sedang disampaikan oleh En. Mohamed Bukhori Abdul Rahman ::.


.:: Sesi taaruf oleh peserta-peserta yang hadir (kelihatan En. Abu Hassan Man; pengusaha nanas paling berjaya di negeri Kedah ::.
Klik di sini untuk melihat paparan kejayaan beliauLink

.:: Sesi soal jawab dengan pegawai jabatan pertanian negeri ::.

0 comments:

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP