Showing posts with label Perubatan Islam. Show all posts
Showing posts with label Perubatan Islam. Show all posts

Asal-Usul dan Keistimewaan Madu Sidir

>> Tuesday, September 16, 2014

Madu Sidir merupakan madu daripada negara Yaman yang terbaik di dunia. Khasiat Madu Sidir dikatakan yang paling tinggi nilainya dan juga mempunyai nilai perubatan yang tinggi. Ianya mempunyai khasiat 5 kali ganda dari madu lebah ternak. Madu ini diambil dari pohon Sidir di lembah Dau’an Hadramaut, Yaman. Madu Sidir asli ini sangat sukar didapati dan pengeluarannya juga terbatas.

Menurut Badan Pemakanan dan Pertanian PBB (FAO) madu sidir Yaman seratus kali lebih mahal daripada lain-lain madu di pasaran global kerana perbezaan kandungan, rasa, zat-zat dan khasiatnya yang diiktiraf paling terbaik.

Keistimewaan madu sidir adalah kerana pokok-pokok sidirnya (Ziziphus Spina Christi, L.Willd) yang terdapat di kawasan pergunungan di mana tanah dan kawasan di situ masih terpelihara dari pencemaran. Pohon sidir terkenal dengan manfaat perubatan dan memiliki antioksidan yang sangat tinggi. Manakala lebah yang menghasilkan madu di pergunungan pula adalah jenis lebah yang khusus memakan debunga sidir sahaja.

Pokok sidir dipercayai oleh kebanyakan masyarakat arab sebagai salah satu pokok istimewa sehingga disebut di dalam Al-Quran; pohon yang terdapat di alam dunia dan alam akhirat. Lebih-lebih lagi pokok sidir adalah pokok yang tertua di dunia.

Pohon sidir juga disebutkan tiga kali dalam Al Quran iaitu dalam Surah Saba ayat 16 yang menyatakan sebagai salah satu pohon yang tumbuh di bumi. Di dalam surah Al Waqia’h ayat 28 pula ia digambarkan sebagai pohon yang ada di dalam syurga. Manakala di dalam surah An Najm ayat 14 perkataan sidir disebut dengan nama Sidratul Muntaha iaitu nama tempat paling atas di langit ke tujuh yang dikunjungi Nabi Muhammad SAW ketika peristiwa Isra’ dan Mi’raj.

~ Amalkan Pemakanan Sunnah, Hidup Pasti Barakah~

Read more...

Ketajaman Ayat-Ayat Ruqyah Rawatan Kepada Sihir

>> Tuesday, December 17, 2013


Video ini mesti anda tengok. Berlaku di Sudan. Akibat terlalu ramai penduduk kampung yang terkena sihir maka dikumpulkan semua penduduk yang terlibat di sebuah kampung. Lalu dibacakan ruqyah syar'iyyah. Apa yang menarik perhatian ialah seorang wanita yang berjalan bongkok menyerupai nenek tua. Wallahu'alam..

Read more...

Strok vs Angin Ahmar vs Sampuk Hantu

>> Friday, November 22, 2013

Dulu-dulu-dulu aku pernah diminta seseorang untuk merawat seorang suami yang ditimpa angin ahmar. Semasa rawatan dibuat terdengar cakap-cakap dibelakangku yang mengatakan bahawa suami wanita itu diserang strok. Ada yang mengatakan angin ahmar. Malah ada pula yang mengatakan disampuk hantu sewaktu pergi menoreh getah. Itu hanya pendapat dan sangkaan mereka semata-mata namun yang pastinya mereka dan juga sebahagian besar masyarakat kita  masih lagi keliru tentang strok, angin ahmar dan juga gangguan makhluk halus.

Mengikut pendapatku yang faqir lagi cetek ilmunya ini strok hanya akan menyerang pada seseorang yang pernah mengalami darah tinggi, kencing manis atau sakit jantung. Strok lazimnya menyerang pada orang dewasa khususnya bagi mereka yang agak berusia. Strok lazimnya juga akan menyerang pada bahagian kiri anggota badan (iaitu pada bahagian terletaknya jantung). Cara mudah untuk mengesan serangan strok ini ialah urat yang terdapat pada bahagian belakang tengkok akan mengeras atau membengkak dan apabila tapak tangannya dibalikkan akan kembali kepada kedudukan asal. Sesiapa yang tapak tangannya berkudis (menunjukkan bahawa antibodi badan lemah) maka bersiap siagalah bahawa kemungkinan anda bakal diserang strok. Tapi kalau tapak tangan gatal-gatal itu lain pula ceritanya. Kata orang-orang tua nak beroleh ongkoslah tu.

Angin ahmar atau rihul ahmar pula merupakan satu satu penyakit yang berpunca daripada gangguan jin. Jin yang bernama rihul ahmar ini  merupakan saudara kepada ifrit laknatullah. Dipendekkan cerita pada zaman Nabi Sulaiman Alaihissalam diriwayatkan terdapat lebih daripada 36 ribu ekor jin yang tunduk pada kekuasaan Nabi Sulaiman Alaihissalam. Kagum dan merasa hebat dengan kelebihan yang dimiliki membuatkan Allah menguji baginda dengan menghantar seekor jin yang bernama Rihul Ahmar. Rihul Ahmar merupakan satu-satunya jin yang ingkar untuk tunduk dan taat kepada kekuasaan Nabi Allah Sulaiman. Baginda lantas mengarahkan tenteranya untuk menangkap jin tersebut namun lesap sehinggalah membuat penampilan semula pada zaman Junjungan Mulia Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wassalam dan menyerang salah seorang cucuanda baginda yang tercinta. Jibril 'Alaihissalam selaku penyampai wahyu dan guru baginda telah mengajar doa yang agak panjang yang dapat membentengi diri daripada ancaman Rihul Ahmar. Diriwayatkan bahawa sesiapa yang membaca doa ini walau pun sekali seumur hidup akan terselamat daripada bahana Rihul ahmar. Wallahu 'alam.

Berbeza dengan strok angin ahmar lazimnya akan menyerang pada bahagian kanan anggota badan, boleh menyerang pada orang yang sihat tubuh badan termasuklah pada kanak-kanak. Tapak tangan penderita angin ahmar akan kekal pada kedudukannya apabila dibalikkan. Angin ahmar akan menyerang pada darah dan salur darah pada tubuh manusia dan tempat yang diserang angin ahmar kebiasaannya akan kurus dan tidak berisi. Kedua-dua penyakit ini iaitu strok dan angin ahmar mempunyai kaedah dan rawatan yang tersendiri yang boleh dipraktikkan.

Perbincangan mengenai gangguan makhluk halus agak panjang, kompleks dan subjektif untuk dihuraikan. Sekiranya ada kelapangan masa dan ketika akan diperbahaskan lagi dengan izin Allah.

Read more...

Benarlah hidayah itu milik Allah. Syabas Adam AF!!!

>> Saturday, September 28, 2013

Read more...

Pengumuman Waktu Rawatan Bersama Ustaz Ahmad

>> Thursday, June 20, 2013

Assalamualaikum.
Dimaklumkan bahawa waktu rawatan bersama saya adalah mengikut ketetapan berikut :

Hari Isnin - 5.00 petang - 6.15 petang*
Hari Jumaat - 9.00 pagi - 12.00 tengah hari*
* Tertakluk kepada perubahan semasa

Sebarang temujanji atau pertanyaan boleh dibuat dengan menghantar sms ke 0134895379 atau emailkan ke alhazeem02@yahoo.com.

Read more...

Khidmat Rawatan Bekam Sunnah

>> Tuesday, November 27, 2012

Bekam atau al hijamah merupakan kaedah mengeluarkan sisa toksik, toksin, uric acid, kolestrol, angin, sel darah merah yang rosak dan juga unsur gangguan jin dalam badan melalui kulit dengan cara menyedut. Bekam merupakan amalan sunnah Rasulullah saw yang mampu untuk mengekalkan kesihatan dan kekuatan jantung serta merendahkan kadar stress dalam tubuh. Secara tidak langsung dapat mengelakkan diri daripada terkena penyakit-penyakit kronik seperti strok, diabetes, artiritis, kanser, migrain dan sebagainya.

Bekam juga dapat meningkatkan hormon regenerasi sel akibat tusukan jarum ke atas titik-titik tertentu pada tubuh. Hormon ini bertindak untuk memperbaiki fungsi organ tubuh atau sel akibat kerosakan atau kecederaan. Organ tubuh yang terganggu fungsinya akan disembuhkan dengan cara memperbaiki jaringan dan sel yang ada padanya sehingga mampu berfungsi dan kembali sihat. Sebagai contoh sekiranya bekam dilakukan pada titik jantung hormon akan dirembeskan dengan banyaknya pada kawasan ini dan sistem tubuh badan akan berfungsi dengan pantas jika berlaku sesuatu.

Selain itu amalan bekam juga dapat  meningkatkan sistem antibodi tubuh badan. Organ tubuh yang mengalami infeksi kuman penyakit dapat sembuh  cepat kerana tubuh berupaya untuk mengeluarkan zat antibodi yang mampu membunuh patogen atau kuman yang membahayakan. Jika organ tubuh sudah bebas dari sebarang infeksi penyakit maka tubuh pun akan sihat kembali seperti biasa.
 
Kaedah rawatan bekam (termasuk petik) yang saya praktikkan menggabungkan 3 kombinasi perubatan sunnah iaitu pesakit akan diruqyah terlebih dahulu, diikuti dengan rawatan bekam dan diakhiri dengan minuman susu kambing (Hi-Goat) atau madu. Sebotol air terapi yang diruqyah oleh saya sendiri akan diberi sebagai ikhtiar susulan.

Kebersihan dan kesucian dalam rawatan sangat ditititberatkan. Penggunaan lancet (jarum) pakai buang, sarung tangan, mask dan keperluan bekam yang sentiasa distril meminimunkan risiko penyakit bawaan patogen dan sebagainya.
 
Hari yang paling ideal untuk melakukan rawatan mengikut amalan sunnah adalah pada 17, 19 dan 21 mengikut takwim hijrah. Menurut hadis sahih Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Barang siapa berbekam pada hari ke 17, 19 dan 21 (tahun hijrah), maka ia akan sembuh daripada segala macam penyakit". Pun begitu rawatan pada hari-hari lain juga masih boleh dilakukan lantaran tidak terdapat hadis yang melarang tetapi tidaklah mendapat jaminan nabi dan pahala sunnah.
 
Rawatan bekam beserta kadar bayaran yang dikenakan adalah seperti berikut :
 
  1. Bekam Basah (Darah)
  2. Kepala : 1 cup, 3 kali sedutan bersamaan RM 15
    Anggota badan lain : 1 cup, 3 kali sedutan bersamaan RM 7
     
  3. Bekam Kering (Angin)
  4. Kepala : 1 cup, 3 kali sedutan bersamaan RM 13
    Anggota badan lain : 1 cup, 3 kali sedutan bersamaan RM 5
     
  5. Bekam Luncur
  6. Anggota badan : 1 cup bersamaan RM 4
     
Kepada sesiapa yang berminat boleh membuat temujanji terlebih dahulu dengan emailkan kepada saya di alhazeem02@yahoo.com.

Read more...

Saka : Suatu Realiti

>> Saturday, November 24, 2012

Saka bukanlah suatu perkara baru dalam kehidupan masyarakat melayu malah telah diamalkan sejak dahulu kala lantaran kefahaman akidah yang cetek dan terlalu taasub dengan kelebihan yang diperolehi daripada saka tersebut. Saka menurut definisi Ustaz Sharhan dalam kelas pengajiannya adalah suatu mou (perjanjian) yang dimetreai diantara nenek moyang kita terdahulu dengan jin atau iblis bagi mendapatkan kehebatan, kecantikan, penjagaan, perubatan, persilatan dan sebagainya dengan syarat-syarat yang tertentu dan dalam jangka masa yang tertentu (sesetengahnya boleh menjangkau sehingga 7 keturunan).
 
Menurut Ustaz Sharhan juga orang yang memiliki saka kebiasaannya dapat dikesan melalui tanda-tanda berikut :
  • Sentiasa bermimpi orang yang telah meninggal dunia pulang ke rumah
  • Mimpi budak kecil
  • Mimpi pada tempat yang sama
  • Terdapat kesan lebam selepas bangun daripada tidur (disertai dengan kesan gigitan) atau kesan cakar
  • Kanak-kanak kecil sentiasa menangis terutamanya pada waktu malam
  • Sukar dapat anak
  • Sentiasa terlihat kelibat di dalam rumah
  • Kesalahan kecil selalu diperbesar-besarkan
  • Jemu dan dingin terhadap pasangan
  • Mengantuk ketika berada di dalam majlis ilmu
  • Tidak gemar hidup bermasyarakat
  • Penyakit yang tidak dapat dikenalpasti oleh doktor
  • Selalu lupa bilangan rakaat dalam solat
Disamping tanda-tanda ini mengikut pemerhatian dan pengalaman saya orang yang memiliki saka juga akan rasa berdebar-debar atau gelisah apabila mendengar bacaan ayat suci Al Quran, berasa tidak tenteram apabila hendak dibawa merawat dengan mana-mana pengamal perubatan Islam dan apabila discan atau diimbas dengan ayat-ayat ruqyah syar'iyyah orang yang memiliki saka akan mengalami gejala-gejala berikut :
  • Cepat menangis
  • Cepat marah (sehingga kadang-kadang mengebilkan biji mata)
  • Muntah dengan tiba-tiba
  • Bergetar seluruh tubuh badan
  • Rasa sakit pada bahagian kepala
  • Rasa sakit pada bahagian tulang empat kerat
  • Rasa panas pada bahagian kepala, tengah belakang atau bahagian jantung
  • Rasa seakan-akan ada sesuatu yang bergerak di bawah kulit atau di dalam badan (khususnya di tangan atau kaki)
Saka yang sudah dibuang daripada tubuh pesakit boleh kembali semula jika pesakit selalu melanggar arahan dan tegahan Allah atau pun tidak istiqamah dengan amalan-amalan kerohanian yang disarankan seperti jarang membaca Al quran, malas berzikir dan sebagainya. Mengikut Syeikhuna Wahid Abdussalam Bali dalam bukunya Wiqayatul Insan Minal Jin Was Syaitan menjelaskan bahawa perkara-perkara berikut patut diamalkan bagi mengelak masalah saka berulang : 
  • Melakukan solat secara berjamaah
  • Tidak mendengar nyanyian, rancangan televisyen dan muzik yang melalaikan
  • Berwudhuk sebelum tidur disamping membaca Ayatul Kursi
  • Membaca surah Al Baqarah di rumah setiap tiga hari sekali
  • Membaca surah Al Mulk sebelum tidur. Manakala bagi yang buta huruf memadai dengan mendengarnya sahaja
  • Membaca surah Yasin pada waktu subuh. Manakala bagi yang buta huruf memadai dengan mendengarnya sahaja
  • Bergaul dengan orang yang soleh dan menjauhi orang yang membuat kerosakan serta fasiq (lagi munafiq)
  • Bagi kaum perempuan diwajibkan memakai hijab yang menepati kehendak syarak serta mengelakkan tabarruj
  • Mendengar bacaan Al Quran sekurang-kurangnya 2 jam sehari dan membaca Al Quran sebanyak 1 juzu'
  • Membaca Laa ilaaha illaa wahdahu laa syariikalah lahul mulku walahul hamdu wahuwa alaa kulli syaiin khodiir sebanyak seratus kali selepas solat fajar
  • Membaca basmalah sebelum melakukan sesuatu
  • Elakkan diri daripada tidur keseorangan
Diharapkan info yang diberikan ini berguna untuk anda dan semoga kita semua bebas daripada terjebak dengan amalan syirik yang menyesatkan ini, amin... 

Read more...

Diagnos Penyakit Menggunakan Telapak Tangan

>> Thursday, November 22, 2012

Perubatan Islam merupakan suatu amalan perubatan yang cukup unik berbanding dengan amalan perubatan moden bahkan amalan-amalan perubatan tradisional yang lain. Berprinsipkan "al wiqaayatul khairun minal 'ilaj" perubatan Islam antara lain dapat mengenal pasti tanda-tanda atau simptom-simptom awal sebelum penyakit yang dihidapi menjadi semakin serius dan melarat. Ianya dapat dikesan menggunakan pelbagai kaedah samada melalui diagnos atau pengesanan menggunakan telapak tangan, melihat tanda-tanda pada lidah, mata dan sebagainya.
 
Pada kali ini saya akan menerangkan serba sedikit diagnos simptom penyakit menggunakan telapak tangan. Kaedah ini cukup mudah dan boleh dipraktikkan oleh sesiapa pun. Antara tanda-tanda yang boleh dikenalpasti ialah : 
  1. Kuku berombak menunjukkan kandungan kolestrol bertambah dalam darah
  2. Hujung jari melekuk menunjukkan tanda stress
  3. Tanda putih pada pangkal jari tengah menunjukkan masalah jantung
  4. Kuku berwarna gelap menunjukkan masalah diabetes. Semakin gelap warna kuku semakin kronik diabetes dihadapi
  5. Tanda seperti bulan sabit pada pangkal kuku ibu jari menunjukkan terdapat  masalah buah pinggang (yang berkerja teruk)
  6. Tanda seperti bulan sabit pada pangkal kuku jari tengah menunjukkan masalah batu karang
  7. Pangkal jari membengkak menunjukkan gangguan fungsi pada buah pinggang
  8. Hujung jari merah menunjukkan masalah jantung
  9. Ruas jari hitam menunjukkan masalah sembelit
  10. Tanda atau garisan biru di sekitar tapak tangan menunjukkan tanda stress
  11. Tanda atau garisan hijau di sekitar tapak tangan menunjukkan terdapat masalah dalam usus seperti gastrik dan sebagainya
  12. Jari kelingking bengkok menunjukkan masalah saraf. Lihat juga pada jari kanan dan kiri kerana berkemungkinan ada kaitan dengan tulang belakang
  13. Jari kelingking meruncing menunjukkan masalah kurang subur
  14. Jari manis bengkok menunjukkan masalah kekurangan imunisasi dalam tubuh
  15. Jari tengah bengkok menunjukkan masalah mudah gemuruh dan juga masalah jantung
  16. Jari telunjuk bengkok menunjukkan gangguan pada usus
  17. Ibu jari nipis menunjukkan masalah resdung
  18. Semua jari bengkok menunjukkan masalah diabetes
  19. Tapak tangan tiada elemen putih setelah diurut 2 atau 3 kali menunjukkan masalah angin dan darah tidak seimbang
  20. Telapak tangan cengkung menunjukkan gangguan pada sistem pencernaan dan kurang zat
  21. Telapak tangan tenggelam menunjukkan masalah kurang subur
  22. Telapak tangan hitam menunjukkan timbunan toksin dalam usus
  23. Garis pada tapak tangan berwarna hitam menunjukkan timbunan toksin dalam usus
  24. Telapak tangan berpeluh menunjukkan jantung dan peparu tidak seimbang
Semoga maklumat yang diberi memberi manfaat kepada anda. Selamat beramal.

Read more...

Kursus Perubatan Islam Darussalam Kali Ke 9

Read more...

Rawatan Amal Terapi Al Quran Darul Hikmah Bersama Ustaz Malik

>> Tuesday, November 20, 2012

Terapi Al Quran Darul Hikmah (TAQ) akan menganjurkan rawatan amal kepada sesiapa yang berhajat yang mempunyai masalah gangguan, sihir, saka dan lain-lain penyakit mengikut ketetapan berikut :

Tarikh   : 1 Disember 2012
Masa    : 10 pagi - 10 malam (3 sesi rawatan)
Tempat : TAQ cawangan Alor Setar
              No 16 Tingkat Atas, Bangunan Koperasi Pegawai Kerajaan 
              Negeri Kedah,
              05200 Jalan Tun Razak, Alor Setar
              [Berhadapan Pasaraya Giant]


Tarikh   : 2 Disember 2012
Masa    : 10 pagi - 10 malam (3 sesi rawatan)
Tempat : TAQ cawangan Bertam
              44 Tingkat 1, Jalan Dagangan 3,
              Pusat Bandar Bertam Perdana
              13200 Kepala Batas
              [Berhadapan Kiosk@Bertam]

"Jom Pakat Mai"

Read more...

Kelas Pengajian Perubatan Islam Bersama Al Fadhil Al Ustaz Sharhan bin Shafie Siri 5

Kelas Perubatan Islam bersama Al Fadhil Al Ustaz Sharhan bin Shafie bagi siri yang kelima akan diadakan pada 8 Disember 2012 bertempat di auditorium Perpustakaan Awam Negeri Kedah seawal jam 9.00 pagi. Kelas yang sepatutnya berlangsung pada 1 Disember ini terpaksa ditunda kerana Ustaz Sharhan perlu menghadiri Konvensyen Perubatan Islam Sedunia di Kuala Lumpur. Pihak penganjur memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi. Bagi sesiapa yang berminat untuk hadir sila sms nama penuh untuk tempahan tempat dan makanan ke 0124474322.

Read more...

Al 'Alaamah Syeikhuna Wahid Abdus Salam Bali & Kitab Karangannya

>> Saturday, November 17, 2012

Pernah satu ketika semasa aku menuntut di Tanta, Mesir dahulu seorang kenalan Arab bernama Mohamed menawarkan diri untuk membawa aku dan sekalian ahli bait berjumpa dengan seorang syeikh kabir di Kafru Syeikh yang jaraknya tidak berapa jauh daripada pemukiman aku jika benar-benar berminat untuk mempelajari ilmu perubatan Islam. Kata kenalanku syeikh beraliran salafi ini cukup arif dalam rawatan berkaitan dengan gangguan jin, mengetahui selok-belok kehidupan dan tipudayanya. Dikhabarkan juga al 'alamah syeikh seorang waliyulLah yang terkenal namanya di alam ghaib. Mulanya aku rasa berminatlah juga untuk mempelajari ilmu ini namun bila diberitahu bahawa syarat hafazan Al Quran 30 juzuk dikenakan akhirnya hasrat dan keinginan aku terkendon dan berkubur begitu sahaja. (Sepatutnya aku berjumpa dahulu, mungkin syarat yang dikenakan sekadar menduga)

Alhamdulillah dengan izin Allah yang Maha Kaya setelah pulang ke tanahair aku berpeluang untuk menimba ilmu daripada syeikh ini tetapi melalui belaian tarbiah daripada dua orang bekas anak muridnya iaitu Al Fadhil Al Ustaz Syarhan bin Syafie dan Al Fadhil Al Ustaz Malek bin Ladzim. Semoga Allah meredhai usaha kecilku dan merahmati "guruku" Al 'Alamah Syeikhuna Wahid Abdus Salam Bali senantiasa. Amin.

.:: Buku-Buku karangan Syeikhuna Wahid Abdus Salam Bali ::.


Adalah disarankan bagi yang berkemampuan untuk membaca teks arab supaya menggunakan buku-buku ini berbanding buku-buku terjemahan kerana maksud, kupasan dan kandungannya lebih jelas dan lengkap berbanding dengan buku-buku terjemahan yang ada di pasaran. Hal yang demikian kerana pada pengamatan saya ada sesetengah isi dan kandungan buku-buku ini tidak diterjemahkan sepenuhnya. Bagi yang berminat buku-buku ini boleh didapati di Pustaka Darus Salam Alor Setar dan cawangannya di Shahab Perdana, Mergong.

.:: Buku-Buku Terjemahan Daripada Buku-Buku Karangan Syeikhuna Abdus Salam Bali ::.



Info buku Mencegah dan Merawat Sihir Gangguan Jin dan Syaitan 
 
Golongan jin dan tukang sihir dari kalangan manusia termasuk sahabat syaitan yang meniupkan api kemungkaran dan kejahatan dalam diri orang lain. Berbagai pendekatan dilakukan untuk menjerumuskan manusia ke lembah kehancuran. Mereka menggoda, merayu dan membisikkan kedengkian, kemudian menuju sihir dan kerasukan dalam diri seseorang.

Kehadiran syaitan dan tiupan sihir dalam kehidupan manusia, hanya mengganggu ketenteraman dan kedamaian hidup. Kezaliman merupakan formula untuk menghancurkan orang lain. Kadangkala perbuatan terkutuk ini menyebabkan kegilaan dan penderitaan yang berpanjangan serta mengakhiri kehidupan manusia dengan tragik dan memilukan.

Semoga buku ini memberi panduan bagi yang berusaha menangkis gangguan jin, syaitan dan tukang sihir yang durjana, insya Allah.

Kredit : Hasani Books Online 


Info buku Jin dan Syaitan Dalam Kehidupan Manusia

Salah satu asas akidah Islam adalah beriman (meyakini) adanya perkara-perkara ghaib. Malaikat, jin dan syaitan juga merupakan makhluk Allah yang dikategorikan dalam perkara-perkara ghaib. Perkara-perkara di sini bukan saja-saja direka cerita atau kisahnya. Ia adalah sesuatu yang tidak dapat dilihat dan perkara-perkara ghaib ini telah diberitahu oleh oleh Allah dan RasulNya kepada kita.

Jin dan syaitan merupakan makhluk ghaib yang sering dikaitkan dengan kisah-kisah seram. Sememangnya jin dan syaitan ini telah wujud sebelum diciptakan manusia lagi. Bangsa jin ini telah diciptakan daripada api, seperti yang dinyatakan di dalam Surah Al-Rahman ayat 15. Buku ini mengetengahkan kepada kita tentang jin dan syaitan dalam kehidupan manusia. Bab-bab penjelasan dibahagikan dengan tersusun agar kita dapat mengenali dan memahami siapakah dan apakah mereka ini. Dengan mengenali mereka juga kita akan mengetahui bagaimana menghadapi gangguan dan bisikan mereka.


Semoga dengan kehadiran buku yang cukup padat ini kita dapat menghindarkan perkara-perkara yang tidak elok terjadi kepada kita disebabkan gangguan makhluk ghaib ini insya Allah. Bersama-samalah kita memohon perlindungan dan penjagaan daripada Allah agar dihindarkan daripada penindasan dan khianat makhluk Allah sama ada daripada golongan jin, syaitan mahupun manusia.

Kredit : Hasani Books Online 

.:: Buku Ulasan Atau Sedutan Daripada Buku-Buku Syeikhuna Abdus Salam Bali ::.
  
 
Digunakan sebagai teks utama dalam siri-siri kursus atau ceramah perubatan Islam oleh Al Fadhil Ustaz Syarhan. Disusun dan diolah berdasarkan buku-buku yang dikarang oleh Syeikh Wahid Abdus Salam Bali disamping pengalaman Ustaz Syarhan sendiri dan team usrahnya dalam bidang perubatan Islam.

Read more...

Tanda-Tanda Perawat Yang Mengunakan Khadam Atau Pendamping

>> Friday, November 16, 2012

Perubatan alternatif (Islam) masa kini tumbuh dengan pesat sekali umpama cendawan yang tumbuh selepas hujan. Ada sesetengah pengamal perubatan alternatif ini mengaku bahawa kaedah perubatan yang dibawa adalah yang terbaik, islamik, berpandukan Al Quran dan As Sunnah, mempunyai kebolehan dan kemampuan yang pelbagai, bebas daripada unsur-unsur syirik, khurafat dan sebagainya. Bahkan sesetengahnya pula mendakwa mampu merawat serta menyembuh segala macam penyakit sedangkan konsep perubatan yang sebenar adalah mencari titik antara bertambah atau berkurangnya sesuatu risiko. Hak mutlak kesembuhan adalah hak Allah. Hanya Asy Syafi sahaja yang boleh memberi bekas (kesembuhan) kepada makhluk-makhlukNya.

Berbalik kepada persoalan yang ingin dilontarkan iaitu setelah menyedari betapa banyaknya pengamal perubatan alternatif sejak akhir-akhir ini, bagaimanakah caranya kita boleh mengenal mereka yang menggunakan khadam atau pun pendamping dalam rawatan. Fakta-fakta berikut adalah jawapannya.

  1. Merawat menggunakan kaedah menurun. Kebiasaannya bahasa, watak dan tingkahlaku perawat berubah daripada keadaan asal kerana telah diresapi sesuatu seperti jin dan sebagainya
  2. Menggunakan asap dalam rawatan. Ini kerana asap adalah salah satu daripada makanan jin. Seboleh-bolehnya rawatan dengan kaedah begini hendaklah dielakkan walaupun sesetengah ulama' menghukumkan harus merawat menggunakan al baqur (kemenyan)
  3. Pengamal perubatan cenderung bercakap besar dan bangga diri (salah satu elemen syirik kepada Allah)
  4. Tidak menjaga syariat seperti tidak solat, tidak berpuasa, tidak menutup aurat dan sebagainya
  5. Meramal sesuatu atas pesakit
  6. Meletakkan pengeras atau ganjaran selepas rawatan
  7. Memberi tangkal atau azimat yang tidak pasti bacaan dan sumbernya
  8. Tempat rawatan dihias serba kuning
  9. Menyandarkan rawatan kepada sesuatu seperti keris, geliga dan sebagainya
  10. Menjampi dengan menyebut nama buaya, gajah, harimau, ular dan sebagainya

Sekiranya terdapat pengamal perubatan yang mengamalkan perkara-perkara seperti ini maka sayugianya dibatalkan hasrat murni anda dan carilah pengamal perubatan yang haqiqi yang bertongkatkan Al Quran dan Al Hadith. Semoga anda diberi kesembuhan daripada Allah dan terlepas daripada bahana jarum halus sang iblis.

Read more...

Kelas Pengajian Perubatan Islam Bersama Al Fadhil Ustaz Sharhan bin Shafie

>> Wednesday, October 10, 2012

Siapa yang tidak kenal dengan Al Fadhil Ustaz Sharhan bin Shafie; pengasas Pusat Rawatan Sinar Zamdurrani yang juga selebriti perubatan Islam yang acap kali muncul dalam media cetak dan media massa dengan pelbagai kupasan dan pendedahan yang menarik sedang mengadakan siri kursus rawatan Islam kepada khalayak yang berminat. Setakat ini 4 siri kursus daripada 7 siri yang dirancang telah berjaya dilaksanakan. 
 
Walau bagaimana pun bagi sesiapa yang berminat tetapi telah terlepas untuk mengikuti keempat-empat siri ini satu siri ulangan dengan penerangan yang lengkap tentang sihir, jin dan saka akan diadakan bertempat di auditorium Perpustakaan Awam Negeri Kedah pada 20 Oktober 2012. Bayaran yang dikenakan hanyalah RM50 sahaja. Untuk makluman siri yang kelima dijangka akan diadakan sekitar bulan November nanti. 
 
Bagi mendapatkan keterangan lanjut boleh emailkan kepada saya di alhazeem02@yahoo.com atau hantarkan mesej anda ke 013-4895379.

Read more...

Kelas Pengajian Perubatan Islam Bersama Al Fadhil Ustaz Wan Asrul

Pengasas Terapi Islam Al Fatah (TIAF); Al Fadhil Ustaz Wan Asrul Al Yamani akan mengadakan Kursus Bekam Sunnah bertempat di Pusat Dakwah Alor Setar pada  19 Oktober ini. Kursus Lanjutan Bekam Sunnah pula akan diadakan sehari kemudian di Dewan As Solihin, Kamunting, Perak. Pada 20 Oktober di tempat yang sama juga akan diadakan Kursus Menangani Gangguan Jin Asyik, Was-Was dan Kemurungan.

Yuran yang dikenakan adalah RM150 bagi setiap kursus. Tempat adalah terhad. Bahan kursus dan makanan akan disediakan oleh pihak penganjur.

Rebutlah peluang dengan menghadiri setiap siri kursus ini daripada al fadhil ustaz yang kaya dengan ilmu, thaqafah dan khibrah sebelum beliau berangkat semula ke Yaman untuk tempoh yang tidak pasti.

Jika berminat boleh dapatkan keterangan lanjut dengan emailkan kepada saya di alhazeem02@yahoo.com atau hantarkan mesej anda ke 013-4895379.

Read more...

Kelas Pengajian Perubatan Islam Bersama Al Fadhil Ustaz Shahrizal

Ustaz Shahrizal selaku pengasas perubatan Islam Ashabul Yamin akan mengadakan Kursus Rawatan Islam pada 18 Oktober 2012 bertempat di Jitra pada pukul 9.00 malam. Buku panduan rawatan Ashabul Yamin akan disediakan. Ijazah akan diberikan setelah tamat kursus. Yuran yang dikenakan adalah sebanyak RM75 sahaja.

Sesiapa yang berminat boleh emailkan kepada saya di alhazeem02@yahoo.com atau hantarkan mesej anda ke 013-4895379.

Read more...

Kelas Pengajian Perubatan Islam Bersama Al Fadhil Ustaz Abd. Malik bin Ladzim

Ustaz Abd. Malik bin Ladzim yang merupakan pengasas Pusat Perubatan Islam Darul Hikmah telah memulakan kelas pengajian perubatan Islam bermula pada 8 hari bulan yang lepas. Ini adalah kali kedua kelas seumpamanya dijalankan sejak 2010. Kelas ini akan terus diadakan pada setiap hari Isnin malam Selasa dan dijangka mengambil masa selama setahun.
 
Untuk tiga bulan yang pertama pengajian adalah berdasarkan kitab-kitab karangan Syeikh Wahid Abdus Salam Bali (seorang tokoh perubatan Islam yang amat terkenal di Mesir) iaitu Wiqaayatul Insaan Minal Jin Was Syaitaan dan As Soorim Al Battaar Fi At Tasoddi Li As Saharoti Al Asraar. Pengajian pada bulan-bulan seterusnya adalah berkisar tentang perubatan herba dan rawatan bagi menangani penyakit klinikal seperti demam panas, kencing manis, darah tinggi, kayap dan hepatitis B disamping beberapa kaedah rawatan lain dalam perubatan Islam. Latihan amali akan dijalankan bagi mengukuhkan kefahaman  dan teknik rawatan para peserta. Ijazah pengajian bersanadkan Syeikh Wahid Abdus Salam Bali juga akan diberikan.
 
Peluang untuk sesiapa yang berminat untuk menyertai kelas pengajian ini masih lagi terbuka. Pun begitu tempat yang ditawarkan amatlah terhad kerana al fadhil ustaz hanya menyasarkan sekitar 30 orang penuntut sahaja. Kelas adalah percuma.

Sesiapa yang berminat boleh emailkan kepada saya di alhazeem02@yahoo.com atau hantarkan mesej anda ke 013-4895379.

Read more...

Minyak Kasturi Hitam Terapi Syifa'

>> Monday, May 7, 2012


Wangian adalah santapan roh dan sebaik-baik wangian adalah minyak kasturi. Ini disabitkan dengan hadith Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Imam Muslim yang bermaksud : "Sebaik-baik wangian adalah minyak kasturi". 

Menggunakan minyak kasturi bukan sahaja sebagai wangian kepada pakaian dan tubuh badan tetapi juga sebagai sunnah amalan junjungan kita Nabi Muhammad SAW yang sudah pasti diberi ganjaran pahala. Malah menggunakan minyak kasturi (asbab) juga dapat memberi kesan kesembuhan kepada bermacam jenis gejala dan penyakit. Mengikut sarjana-sarjana dan ahli perubatan Islam minyak kasturi mempunyai beberapa khasiat dan kelebihan seperti berikut :
  • Memberi kekuatan pada roh
  • Menenangkan jiwa
  • Menghindarkan diri daripada angin ahmar
  • Menghilangkan selesema
  • Menyejukkan badan
  • Melembutkan kulit
  • Mencerdaskan akal dan menyihatkan otak
  • Menghilangkan sakit kepala
  • Menghilangkan ketakutan dan kebimbangan
  • Menghilangkan debaran jantung
  • Menghilangkan sesak nafas
  • Melegakan lelah (asma)
  • Menyedarkan orang yang pengsan, kerasukan atau histeria
  • Memperkuatkan organ luaran tubuh
  • Memperkuatkan organ dalaman tubuh
  • Menghilangkan rasa gementar dan gemuruh
  • Menghilangkan sejuk tubuh
  • Membuang angin yang berlebihan dalam badan
  • Melegakan sakit sendi
  • Menawarkan racun atau bisa-bisa binatang
  • Menghilangkan kesakitan sewaktu kencing
  • Menjernihkan kawasan putih pada mata
  • Merawat luka luar dan dalam
  • Mencegah wabak penyakit
  • Melindungi diri daripada gigitan nyamuk dan gangguan lalat
  • Melegakan sengatan serangga
  • Mengsir jin dan gangguan
  • Menyukakan para malaikat dan orang-orang yang soleh
Minyak Kasturi Hitam Terapi Syifa ini dihasil dan dirukyah oleh Ustaz Majid; pengasas Pusat Rawatan Islam Nur Ehsan (Akhrine) dengan ditambah beberapa bacaan rukyah terpilih oleh saya sendiri atas permintaan rakan-rakan dan pelanggan-pelanggan terdahulu.

Menurut testimoni pelanggan-pelanggan saya yang telah menggunakan minyak kasturi ini (dengan izin Allah) minyak ini telah terbukti dapat menghilangkan rasa sakit kepala, memberi ketenangan fikiran, menghilangkan rasa gementar, mengelak daripada ditindih makhluk halus sewaktu tidur, menolak dan membuang unsur gangguan dalam badan dan mencerdaskan minda. Bagi individu yang mempunyai masalah gangguan makhluk halus seperti saka dan sebagainya tindakbalas akan dapat diketahui dalam masa kurang daripada seminit.

Kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan minyak kasturi hitam yang telah dirukyah dengan bacaan-bacaan terpilih bolehlah emaikan kepada saya di alhazeem02@yahoo.com. Harga yang ditawarkan hanyalah :

 RM 12 sebotol*
*harga tidak termasuk kos penghantaran

Read more...

Amalan Pagar Diri & Rumah : Amalan 1

>> Friday, February 26, 2010

Disini diperturunkan amalan memagar diri dan rumah daripada ancaman sihir, pencuri, gangguan makhluk halus dan sebagainya yang diamalkan sejak dahulu lagi oleh para solafussoleh. Amalan ini cukup ringkas namun memerlukan sedikit ketabahan dan usaha yang berterusan (istiqamah).

Amalan ini lazimnya dilakukan selepas solat maghrib. Seeloknya pada hari Selasa bagi memagar diri dan hari Jumaat bagi memagar rumah.

Caranya adalah dengan duduk bertimpuh seperti tahiyat awal dan mengadap ke arah kiblat. Niatkan dalam hati untuk memagar diri daripada segala bentuk ancaman atau gangguan dengan izin Allah. (Peringatan : Jangan campurkan niat memagar diri dan rumah sekali gus, buat berasingan). Pejam mata, tarik nafas dalam-dalam dan tahan. Semasa menahan nafas baca ayat kursi dengan betul dan tertib. Seboleh-bolehnya dengan satu nafas sahaja. Semasa membaca ayat kursi cuba bayangkan di hadapan anda terdapat satu tembok yang amat kukuh yang tidak boleh dicerobohi dan ditembusi oleh sesiapa dan sebarang unsur sekali pun. Selesai sahaja membaca ayat kursi tersebut hembuskanlah nafas dengan perlahan-lahan.

Ulangi semula perbuatan yang sama dan bayangkan tembok yang kukuh berada di bahagian belakang, kiri, kanan, atas dan bawah seolah-olah anda berada dalam satu tembok empat segi yang sempurna. Amalkan setiap bulan atau seafdalnya seminggu sekali. Amalan ini juga boleh diniatkan untuk anak-anak yang masih kecil.

Untuk memagar rumah pula caranya adalah sama seperti di atas namun yang membezakannya adalah niat. Niatkanlah untuk memagar rumah daripada segala ancaman jin, manusia dan sebagainya.

Amalkanlah amalan ini dengan tekun dan sabar. InsyaAllah, hasil yang anda akan dapati nanti amat menakjubkan.

Read more...

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP