Showing posts with label Umum. Show all posts
Showing posts with label Umum. Show all posts

Hamidon Ahmad Dalam Kenangan

>> Friday, December 6, 2013

Hari ini genap 40 hari kepulangan Hamidon bin Ahmad ke rahmatullah. Seorang insan yang jika dilihat tampak tegas dan garang tapi sebaliknya seorang yang mudah mesra, penyayang, suka pada kanak-kanak dan suka menolong orang tanpa mengira latar belakang. Menghabiskan lebih separuh daripada usianya di German apabila merantau ke bekas negara nazi itu seawal usia 17 tahun setelah menamatkan pelajaran di salah sebuah sekolah elit di utara semenanjung. Berpegang dengan mazhab maliki dan berkebolehan bertutur pelbagai bahasa seperti bahasa inggeris, bahasa arab, bahasa german, bahasa cina, bahasa siam, bahasa itali dan sebagainya.

Sejak pulang dari luar negara 5 tahun lepas beliau menetap di Pulau Pinang bersama keluarganya. Berkahwin pada lewat usia dan dikurniakan seorang cahayamata perempuan berumur 11 tahun. Hubungan arwah dengan aku sekeluarga amat rapat sekali lebih-lebih dengan anak-anakku; Madihah dan Munif. Paling kurang 3 minggu sekali arwah pasti datang ke rumah membawa bersama potato chips dan aiskrim kegemaran anak-anakku. Sehingga kini anak-anakku asyik menyebut nama arwah. 

Arwah juga dikenali sebagai seorang yang kuat pegangan agamanya. Menghafaz kebanyakan surah daripada Al Quran, sentiasa berzikir dan apabila berwirid mengambil masa yang cukup lama. Maka tidak hairanlah apabila beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika sedang menunaikan solat subuh di rumahnya sendiri dengan meninggalkan wajah yang manis berseri-seri sebagai tatapan terakhir ahli keluarga dan hadiah daripada Allah buat insanNya yang soleh.

Satu persatu kebesaran dan kekuasaan Allah ditunjukkan kepada hambaNya itu; hujan mencurah-curah ketika jenazahnya dimandikan, tidak meninggalkan sebarang kesan najis walaupun perutnya ditekan berulang kali, dasar kubur yang tidak menakung air walaupun sebelum itu hujan turun dengan lebat sekali (padahal dalam situasi yang sama kubur di sebelahnya berair sewaktu pengebumian dahulu), tanah yang tidak melekat walaupun lembab dibasahi hujan, disembahyangkan lebih 400 orang jemaah dengan dipimpin oleh saudaranya Pak Long Syi (imam besar Masjid Tualang). Apa yang menariknya arwah adalah individu pertama yang disembahyangkan di masjid yang baru sahaja siap dibina (Masjid Al Islah, Kampung Nawa) dengan disinari lampu yang dibeli arwah di luar negara. 

Setelah arwah tiada segala kebaikan dan jasa arwah sentiasa diceritakan orang dan menjadi bualan di sekitar kampung. Dialah Hamidon bin Ahmad. Anak kepada pasangan Ahmad bin Ismail dan Mariam binti Samad. Bapa saudaraku yang sangat dikasihi. Semoga Allah mengampunkan segala dosa-dosanya dan menempatkan arwah bersama hamba-hambaNya yang beriman. Amin...

Read more...

Benarlah hidayah itu milik Allah. Syabas Adam AF!!!

>> Saturday, September 28, 2013

Read more...

Khidmat Rawatan Bekam Sunnah

>> Tuesday, November 27, 2012

Bekam atau al hijamah merupakan kaedah mengeluarkan sisa toksik, toksin, uric acid, kolestrol, angin, sel darah merah yang rosak dan juga unsur gangguan jin dalam badan melalui kulit dengan cara menyedut. Bekam merupakan amalan sunnah Rasulullah saw yang mampu untuk mengekalkan kesihatan dan kekuatan jantung serta merendahkan kadar stress dalam tubuh. Secara tidak langsung dapat mengelakkan diri daripada terkena penyakit-penyakit kronik seperti strok, diabetes, artiritis, kanser, migrain dan sebagainya.

Bekam juga dapat meningkatkan hormon regenerasi sel akibat tusukan jarum ke atas titik-titik tertentu pada tubuh. Hormon ini bertindak untuk memperbaiki fungsi organ tubuh atau sel akibat kerosakan atau kecederaan. Organ tubuh yang terganggu fungsinya akan disembuhkan dengan cara memperbaiki jaringan dan sel yang ada padanya sehingga mampu berfungsi dan kembali sihat. Sebagai contoh sekiranya bekam dilakukan pada titik jantung hormon akan dirembeskan dengan banyaknya pada kawasan ini dan sistem tubuh badan akan berfungsi dengan pantas jika berlaku sesuatu.

Selain itu amalan bekam juga dapat  meningkatkan sistem antibodi tubuh badan. Organ tubuh yang mengalami infeksi kuman penyakit dapat sembuh  cepat kerana tubuh berupaya untuk mengeluarkan zat antibodi yang mampu membunuh patogen atau kuman yang membahayakan. Jika organ tubuh sudah bebas dari sebarang infeksi penyakit maka tubuh pun akan sihat kembali seperti biasa.
 
Kaedah rawatan bekam (termasuk petik) yang saya praktikkan menggabungkan 3 kombinasi perubatan sunnah iaitu pesakit akan diruqyah terlebih dahulu, diikuti dengan rawatan bekam dan diakhiri dengan minuman susu kambing (Hi-Goat) atau madu. Sebotol air terapi yang diruqyah oleh saya sendiri akan diberi sebagai ikhtiar susulan.

Kebersihan dan kesucian dalam rawatan sangat ditititberatkan. Penggunaan lancet (jarum) pakai buang, sarung tangan, mask dan keperluan bekam yang sentiasa distril meminimunkan risiko penyakit bawaan patogen dan sebagainya.
 
Hari yang paling ideal untuk melakukan rawatan mengikut amalan sunnah adalah pada 17, 19 dan 21 mengikut takwim hijrah. Menurut hadis sahih Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Barang siapa berbekam pada hari ke 17, 19 dan 21 (tahun hijrah), maka ia akan sembuh daripada segala macam penyakit". Pun begitu rawatan pada hari-hari lain juga masih boleh dilakukan lantaran tidak terdapat hadis yang melarang tetapi tidaklah mendapat jaminan nabi dan pahala sunnah.
 
Rawatan bekam beserta kadar bayaran yang dikenakan adalah seperti berikut :
 
  1. Bekam Basah (Darah)
  2. Kepala : 1 cup, 3 kali sedutan bersamaan RM 15
    Anggota badan lain : 1 cup, 3 kali sedutan bersamaan RM 7
     
  3. Bekam Kering (Angin)
  4. Kepala : 1 cup, 3 kali sedutan bersamaan RM 13
    Anggota badan lain : 1 cup, 3 kali sedutan bersamaan RM 5
     
  5. Bekam Luncur
  6. Anggota badan : 1 cup bersamaan RM 4
     
Kepada sesiapa yang berminat boleh membuat temujanji terlebih dahulu dengan emailkan kepada saya di alhazeem02@yahoo.com.

Read more...

Diagnos Penyakit Menggunakan Telapak Tangan

>> Thursday, November 22, 2012

Perubatan Islam merupakan suatu amalan perubatan yang cukup unik berbanding dengan amalan perubatan moden bahkan amalan-amalan perubatan tradisional yang lain. Berprinsipkan "al wiqaayatul khairun minal 'ilaj" perubatan Islam antara lain dapat mengenal pasti tanda-tanda atau simptom-simptom awal sebelum penyakit yang dihidapi menjadi semakin serius dan melarat. Ianya dapat dikesan menggunakan pelbagai kaedah samada melalui diagnos atau pengesanan menggunakan telapak tangan, melihat tanda-tanda pada lidah, mata dan sebagainya.
 
Pada kali ini saya akan menerangkan serba sedikit diagnos simptom penyakit menggunakan telapak tangan. Kaedah ini cukup mudah dan boleh dipraktikkan oleh sesiapa pun. Antara tanda-tanda yang boleh dikenalpasti ialah : 
  1. Kuku berombak menunjukkan kandungan kolestrol bertambah dalam darah
  2. Hujung jari melekuk menunjukkan tanda stress
  3. Tanda putih pada pangkal jari tengah menunjukkan masalah jantung
  4. Kuku berwarna gelap menunjukkan masalah diabetes. Semakin gelap warna kuku semakin kronik diabetes dihadapi
  5. Tanda seperti bulan sabit pada pangkal kuku ibu jari menunjukkan terdapat  masalah buah pinggang (yang berkerja teruk)
  6. Tanda seperti bulan sabit pada pangkal kuku jari tengah menunjukkan masalah batu karang
  7. Pangkal jari membengkak menunjukkan gangguan fungsi pada buah pinggang
  8. Hujung jari merah menunjukkan masalah jantung
  9. Ruas jari hitam menunjukkan masalah sembelit
  10. Tanda atau garisan biru di sekitar tapak tangan menunjukkan tanda stress
  11. Tanda atau garisan hijau di sekitar tapak tangan menunjukkan terdapat masalah dalam usus seperti gastrik dan sebagainya
  12. Jari kelingking bengkok menunjukkan masalah saraf. Lihat juga pada jari kanan dan kiri kerana berkemungkinan ada kaitan dengan tulang belakang
  13. Jari kelingking meruncing menunjukkan masalah kurang subur
  14. Jari manis bengkok menunjukkan masalah kekurangan imunisasi dalam tubuh
  15. Jari tengah bengkok menunjukkan masalah mudah gemuruh dan juga masalah jantung
  16. Jari telunjuk bengkok menunjukkan gangguan pada usus
  17. Ibu jari nipis menunjukkan masalah resdung
  18. Semua jari bengkok menunjukkan masalah diabetes
  19. Tapak tangan tiada elemen putih setelah diurut 2 atau 3 kali menunjukkan masalah angin dan darah tidak seimbang
  20. Telapak tangan cengkung menunjukkan gangguan pada sistem pencernaan dan kurang zat
  21. Telapak tangan tenggelam menunjukkan masalah kurang subur
  22. Telapak tangan hitam menunjukkan timbunan toksin dalam usus
  23. Garis pada tapak tangan berwarna hitam menunjukkan timbunan toksin dalam usus
  24. Telapak tangan berpeluh menunjukkan jantung dan peparu tidak seimbang
Semoga maklumat yang diberi memberi manfaat kepada anda. Selamat beramal.

Read more...

Rawatan Amal Terapi Al Quran Darul Hikmah Bersama Ustaz Malik

>> Tuesday, November 20, 2012

Terapi Al Quran Darul Hikmah (TAQ) akan menganjurkan rawatan amal kepada sesiapa yang berhajat yang mempunyai masalah gangguan, sihir, saka dan lain-lain penyakit mengikut ketetapan berikut :

Tarikh   : 1 Disember 2012
Masa    : 10 pagi - 10 malam (3 sesi rawatan)
Tempat : TAQ cawangan Alor Setar
              No 16 Tingkat Atas, Bangunan Koperasi Pegawai Kerajaan 
              Negeri Kedah,
              05200 Jalan Tun Razak, Alor Setar
              [Berhadapan Pasaraya Giant]


Tarikh   : 2 Disember 2012
Masa    : 10 pagi - 10 malam (3 sesi rawatan)
Tempat : TAQ cawangan Bertam
              44 Tingkat 1, Jalan Dagangan 3,
              Pusat Bandar Bertam Perdana
              13200 Kepala Batas
              [Berhadapan Kiosk@Bertam]

"Jom Pakat Mai"

Read more...

Kelas Pengajian Perubatan Islam Bersama Al Fadhil Al Ustaz Sharhan bin Shafie Siri 5

Kelas Perubatan Islam bersama Al Fadhil Al Ustaz Sharhan bin Shafie bagi siri yang kelima akan diadakan pada 8 Disember 2012 bertempat di auditorium Perpustakaan Awam Negeri Kedah seawal jam 9.00 pagi. Kelas yang sepatutnya berlangsung pada 1 Disember ini terpaksa ditunda kerana Ustaz Sharhan perlu menghadiri Konvensyen Perubatan Islam Sedunia di Kuala Lumpur. Pihak penganjur memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi. Bagi sesiapa yang berminat untuk hadir sila sms nama penuh untuk tempahan tempat dan makanan ke 0124474322.

Read more...

Gaza Oh Gaza...

>> Sunday, November 18, 2012

 
Sedih, geram, marah dan bermacam-macam lagi perasaan bercampur-baur apabila mengikuti perkembangan yang berlaku di Gaza, suatu malapetaka tragis yang diketahui ramai. Menulis entri bagi berkongsi rasa sedih dan simpati yang meruntun jiwa atau sekadar untuk berkongsi rasa marah, maki dan dendam hanya membuang masa dan tidak mendatangkan faedah. Sebaliknya usaha yang proaktif harus difikir dan digembleng bersama demi membela nasib saudara-saudara seakidah kita yang ditindas.
 
 
Senario semasa menunjukkan bahawa kita tidak mampu untuk berperang dan mengangkat senjata memerangi Zionis. Justeru, sudah sampai masanya semua umat Islam meyahut seruan Dr. Yusoff Al Qardawi agar memboikot produk-produk keluaran Israel dan anjing-anjing mereka seperti Amerika dan Britain. Cara ini dilihat paling ampuh dan berkesan untuk kita melumpuhkan ekonomi mereka. Biar mereka merasai bahang kekuatan kita. Kita tukarkan buih-buih di lautan menjadi gelombang Tsunami yang membinasakan mereka.

Kita sama sekali takkan mati kebuluran atau menjadi papa kedana hanya kerana kita tidak membeli atau pun menjual produk mereka lantaran masih banyak lagi pilihan produk tempatan dan keluaran muslim yang boleh kita gunakan. Harus diingat bahawa hasil keuntungan produk keluaran Israel yang kita beli akan digunakan untuk menindas dan membunuh rakyat Palestin khusunya penduduk Gaza yang tidak berdosa. Seolah-olah kita menyumbangkan saham untuk membunuh saudara kita sendiri.
 
 
Usahlah terlalu mencemuh atau memaki hamun pemimpin-pemimpin dunia Arab kerana hakikatnya kita sendiri tidak bersatu-padu dan berpecah belah. Pupuklah perpaduan dan elakkan persengketaan agar kita dapat berdiri teguh sehingga tidak dapat dipijak-pijak oleh musuh-musuh Islam dengan sewenang-wenangnya. 

Pugarkan kembali rantaian-rantaian doa, semarakkan semula izzah qunut nazilah dan lain-lain amalan beserta tawajjuh sebulat-bulatnya ke hadrat Allah dan seikhlas mungkin untuk saudara kita di luar sana agar sentiasa tabah mengharungi segala mehnah dan tribulasi serta diberi pertolongan oleh Allah SWT. Semoga suatu hari nanti kita akan beroleh kemenangan yang hakiki. Takbir!!!

Read more...

Rayuan Dana Pembiayaan Surau Kampung Nawa

>> Friday, October 7, 2011


Kepada saudara/sahabatku yang budiman sekalian diharapkan apalah kiranya dapat menyumbang seikhlas dan semampu yang boleh untuk menyiapkan sebuah surau (di Kampung Nawa) yang kini dalam pembinaan. Anggaran kos pembinaan adalah sebanyak RM90k. Jumlah yang terkumpul setakat ini lebih kurang RM25k. Bantuan berupa bahan binaan juga diterima.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam - 02075020321242. Untuk keterangan lanjut boleh hubungi 017-5450316 / 017-4431738 (Paksu Halim) atau sila rujuk pada imej banner yang di atas.

Jazakumullahu khairan jaza' atas segala sumbangan dan bantuan yang kalian berikan...

Read more...

Kedai Serbaneka Halal

>> Thursday, February 25, 2010

Semasa membeli-belah barangan keperluan dapur di pasar raya atau kedai serbaneka, pernahkah kita bertanya sejauh mana sucinya sesuatu produk yang dijual?

Bagi pengguna Muslim, suci atau bersihnya sesuatu produk itu penting kerana ia sebahagian daripada garis halal yang perlu diketahui.

Bukan sahaja barangan berasaskan makanan, malah produk pengguna lain juga perlu melepasi tahap kesucian ini misalnya sabun mandi, serbuk pencuci, kosmetik, barangan kebersihan diri sehinggalah pakaian.

Mungkin kerana pembungkusannya yang cantik atau dikeluarkan oleh syarikat besar, maka kita beranggapan faktor bersih dan suci itu telah dipatuhi hinggakan tidak mengambil kira tentang kesahihan label halalnya.

Isu berhubung halal haram sentiasa menghantui pengguna Muslim terutama beberapa pendedahan media sebelum ini misalnya mengenai tahap kebersihan sebuah kilang roti, pusat penyembelihan ayam yang meragukan dan pusat memproses tauhu kering yang terletak bersebelahan kandang anjing.

Walaupun telah ada syarikat milik orang Islam mengeluarkan produk-produk pengguna seperti ini, tetapi adakalanya faktor pemasaran menyebabkan ia sukar dicari pembeli. Jika ada dijual di pasar-pasar raya besar, susun aturnya pula tersorok di sebalik jenama lain.

Menyedari ada keperluan dalam kalangan pengguna-pengguna Muslim tempatan, Koperasi Halal Hub Kedah Berhad (Kohalal Hub) tampil dengan kedai runcit yang memasarkan hanya produk-produk halal yang dikeluarkan oleh usahawan Muslim.

Konsep kedai serbaneka dengan nama 'ie-mart' (sebutannya i-mart) yang seumpamanya ini mula diperkenalkan pada April lalu bagi memasarkan barangan runcit halal di bawah satu bumbung.

Berbeza dengan kedai serbaneka biasa, ie-mart menjalankan perniagaan selama 17 jam sahaja bermula pukul 7 pagi hingga 12 malam.

Beroperasi di Pusat Perniagaan Putra, dekat Kulim, Kedah, konsep ie-mart yang menjalankan perniagaan berasaskan produk Muslim kepada pengguna beragama Islam ini pantas mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna-pengguna setempat.

Bertitik-tolak daripada ini, cawangan kedua mula beroperasi di Sungai Petani awal bulan lalu. Ia bakal disusuli tiga cawangan lain iaitu di Kedah (Alor Setar) dan Pulau Pinang (Bukit Mertajam dan Balik Pulau) dalam masa terdekat.

"Maklum balas yang diterima meyakinkan Kohalal Hub untuk mengorak langkah membuka lebih banyak cawangan kedai serbaneka ie-mart di seluruh negara," ujar Pengerusinya, Mohd. Nasir Yusoff.

Bersama dua rakannya, Mohd. Azman Mohamad yang juga bendahari Kohalal Hub dan Jamaluddin Ahmad selaku pengurus pemasaran, mereka berkongsi idea menubuhkan koperasi ini.

Menurut beliau, Kohalal Hub merupakan antara koperasi pertama di Malaysia mewujudkan peruncitan islamik yang menggunakan sepenuhnya tenaga dan kemahiran tempatan dalam operasi koperasi.

Katanya, menggunakan tagline 'Peneraju Halal-Hub', misi perniagaan mereka ialah bagi menjalankan muamalah bersama ahli dan pihak-pihak lain secara koperasi.

"Dengan kedai serbaneka ie-mart, Kohalal Hub berhasrat menyediakan perkhidmatan runcit yang kukuh dan diyakini berlandaskan hukum syarak agar dapat memberikan keuntungan dan haiyah taibah (kehidupan yang baik) kepada ahli-ahli koperasi

"Melalui rantaian niaga pula, kita ingin tingkatkan ekonomi masyarakat Islam tempatan melalui produk makanan halal supaya setanding dengan keluaran produk sedia ada di pasaran dalam memenuhi tuntutan keperluan ekonomi," jelasnya.

Seperti kedai serbaneka lain, ia menawarkan kira-kira 1,000 item keperluan seperti barangan dapur, produk herba, produk kesihatan, makanan kering dan basah termasuklah serbuk pencuci serta haruman, tetapi semuanya halal dan suci.

Hampir 80 peratus barangannya merupakan produk IKS Muslim tempatan di mana kira-kira 65 peratus dibekalkan oleh pengusaha IKS dari negeri Utara tanah air dan Johor. Kesemuanya mendapat status halal daripada Jabatan Kebajikan Islam Malaysia (Jakim) selain yang dihasilkan sendiri secara kecil-kecilan di rumah seperti kuih muih sejuk beku segera.

Menurut Mohd. Nasir, melalui perniagaan runcit ini, Kohalal Hub memasarkan produk-produk IKS Muslim ini secara sistematik selain menjamin kebersihan dan kesucian produk-produk yang dihasilkan sama ada produk perniagaan atau perkhidmatan kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Sebenarnya ada banyak produk halal keluaran IKS bumiputera Muslim tempatan yang kualitinya setanding dengan jenama lain tetapi pada harga lebih murah sesuai dengan ekonomi semasa pengguna.

"Dengan pelan pemasaran yang strategik termasuk pemilikan Pusat Hub Halal, objektif untuk meningkatkan ekonomi masyarakat Islam umumnya dan ahli koperasi khususnya, membantu meningkatkan tabungan dan simpanan anggota koperasi melalui program perniagaan boleh dicapai," jelasnya.

Bagi meluaskan lagi konsep ie-mart, Kohalal Hub menawarkan konsep pemilikan cawangan ala francais kepada mereka yang berminat menceburi perniagaan runcit ini.

Rantaian operasinya ialah menerusi usahawan rakan niaga (ie-mart), usahawan Muslim (Kohalal Hub), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) seterusnya kepada pemilik (usahawan) sekali gus menjadikannya sebagai kerjaya pilihan.

"Secara tidak langsung lebih ramai usahawan Muslim dapat dihasilkan melalui program rakan niaga ini. Lantaran itu, dapat memacu ekonomi masyarakat Islam," jelas Pengurus Pemasaran Kohalal Hub, Jamaluddin Ahmad.

Menerusi pakej niaga yang disediakan, ia terbuka kepada usahawan atau bakal usahawan peruncitan untuk membuka kedai serbaneka berkonsepkan produk Muslim di seluruh negara.

Menjelaskan lebih lanjut katanya, empat pakej ditawarkan mengikut kemampuan peserta iaitu pakej A bagi modal permulaan RM10,000, B (RM30,000), C (RM60,000) dan D (RM200,000).

Menurut Jamaluddin, modal bagi pakej A dan B dibiayai oleh usahawan. Sementara itu, bagi mereka yang ingin membuat pinjaman bagi pakej C dan D, hendaklah mempunyai modal permulaan kira-kira 30 peratus dengan urusan pinjaman dibantu oleh koperasi.

"Modal RM10,000 misalnya sesuai bagi mereka yang hendak berniaga secara kecil-kecil seperti menggunakan motosikal roda tiga atau mini van terutama di kawasan perumahan.

"Modal RM30,000 sesuai untuk kios kecil seperti di pasar awam manakala RM60,000 untuk gerai kecil dan modal RM200,000 pula bagi sebuah kedai serbaneka lengkap.

"Kos ini bagaimanapun hanyalah bagi produk-produk runcit yang dibekalkan sahaja. Tetapi selaku ahli Kohalal Hub, kita akan pastikan peserta mempuyai rancangan perniagaan, selain pemilihan lokasi yang baik," katanya.

Menjelang tahun hadapan, Kohalal Hub menyasarkan untuk membuka kira-kira 50 hingga 100 kedai serbaneka ie-mart di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dan angka ini boleh dicapai berdasarkan permintaan yang diterima setakat ini.

Ditanya tentang kemampuan bekalan, Jamaluddin berkata, sebuah Pusat Pengumpulan Bekalan yang diberi nama Pusat Halal Hub telah dibuka di Shah Alam, Selangor, sebelum tiga lagi dibuka iaitu di Kedah, Johor dan Kelantan.

"Selain merealisasikan harapan dan dasar kerajaan bagi menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan, misi Kohalal Hub ialah agar pengguna-pengguna Islam dapat menikmati perkhidmatan penyediaan produk-produk halal daripada rangkaian usahawan Muslim sendiri," ujar nya.

Saya telah pun menyertai program niaga ini. Anda Bila Lagi?
Berminat???
Layari Koperasi Halal Hub Kedah Berhad

"BERSAMA MENYOKONG PRODUK KELUARAN MUSLIM"

Sumber : Kosmo!

Read more...

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP